Pendidikan

 Objektif Pendidikan Prasekolah

Prasekolah di Aliran Perdana

Menyediakan peluang kepada murid untuk mencapai objektif seperti yang berikut:

  • Menggunakan bahasa untuk berkomunikasi dengan berkesan;
  • Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam;
  • Mengamalkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia;
  • Menghargai dan peka terhadap budaya masyarakat Malaysia;
  • Menyayangi dan menghargai alam sekitar;
  • Memperkembangkan konsep kendiri yang positif dan keyakinan diri;
  • Mempraktikkan amalan kesihatan, membina kecergasan badan dan menjaga keselamatan diri;
  • Mengembangkan daya kreatif dan estetika; dan
  • Mengaplikasikan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif serta kemahiran menyelesaikan masalah dalam pembelajaran dan kehidupan seharian.

Prasekolah Pendidikan Khas

  • Menyediakan peluang pendidikan yang sesuai dan relevan dengan kebolehan Murid Berkeperluan Khas agar dapat berdikari dan menjalani hidup yang berkualiti;
  • Membangunkan perkembangan kognitif dan kemahiran bersosial serta mengurangkan masalah tingkah laku yang sering dikaitkan dengan kanak-kanak berkeperluan khas;
  • Meningkatkan perkembangan fizikal, bahasa, dan memahirkan pertuturan, psikologi dan kemahiran urus diri;
  • Mewujudkan sifat ingin tahu, berinisiatif dan berdisiplin;
  • Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam; dan
  • Menyediakan diri dengan kemahiran asas yang diperlukan untuk memberikan pengalaman persekolahan yang akan dilalui.

Latar Belakang

    Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mula terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pendidikan prasekolah setelah mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Disember 1991 untuk melaksanakan program prasekolah yang telah dirancang dan dimulakan bagi tahun 1991/1992.

    Mesyuarat antara kementerian yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 27 Januari 1992 bersetuju supaya KPM meneruskan pelaksanaan Projek Pendidikan Prasekolah yang melibatkan 1070 buah sekolah dengan 1131 buah kelas. Program ini dilancarkan pada tahun 1992 yang dikenali sebagai prasekolah annex.

    Program Prasekolah di bawah KPM diperluaskan di seluruh negara secara berperingkat-peringkat mulai tahun 2002.

    Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), memperuntukkan Pendidikan Prasekolah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Melalui Dasar Pendidikan Prasekolah, KPM bertanggungjawab memberikan pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak yang berumur empat hingga enam tahun.

    Dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, kerajaan memberi tumpuan kepada 4 sub-NKRA untuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan di mana pendidikan prasekolah merupakan salah satu daripada Sub-NKRA tersebut. Key Performance Indicator (KPI) yang ditetapkan bagi Sub-NKRA ini adalah meningkatkan kadar penyertaan kanak-kanak berumur (4+ dan 5+) serta meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah dengan menjadikan prasekolah swasta dan agensi-agensi lain sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

    Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 turut mengambil kita kepentingan pendidikan prasekolah. Anjakan 1 PPPM 2013-2025 menggariskan tentang penyediaan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa. Sasaran di bawah anjakan ini adalah untuk meningkatkan kualiti prasekolah dan menggalakkan enrolmen sejagat.

    Matlamat Pendidikan Prasekolah

      Pendidikan Prasekolah bertujuan menyediakan pengalaman pembelajaran kepada murid-murid yang berumur antara empat hingga enam tahun bagi menyuburkan potensi mereka dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah.

      Dasar Pendidikan Prasekolah

      DASAR PENDIDIKAN PRASEKOLAH 

      Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) memperuntukkan Pendidikan Prasekolah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Melalui pernyataan dasar ini, KPM bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak yang berumur empat hingga enam tahun.

      Dari segi pendemokrasian pendidikan, dasar yang khusus membolehkan kanak-kanak menikmati peluang pendidikan prasekolah tanpa mengira pendapatan keluarga, kawasan tempat tinggal dan kumpulan etnik termasuk kanak-kanak berkeperluan khas.

      Dasar Pendidikan Kebangsaan berkaitan pendidikan prasekolah :

      • Memastikan kanak-kanak di Malaysia yang berumur 4+ hingga 5+ mendapat pendidikan prasekolah sama ada yang disediakan oleh KPM, agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan.
      • Memastikan pematuhan kepada penggunaan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK) di semua institusi prasekolah kecuali di prasekolah antarabangsa dan ekspatriat.

      Konsep Pendidikan Prasekolah

      Pendidikan Prasekolah adalah satu program yang menyediakan pengalaman pembelajaran kanak-kanak yang berumur 4+ dan 5+ tahun dalam jangka masa satu tahun atau lebih sebelum memasuki ke Tahun Satu.

      Semak Keputusan Permohonan

      Semak Keputusan Permohonan Melalui Dua Cara Iaitu :

      • Secara dalam talian (online)
      • Secara manual melalui sekolah dimohon
        • Semakan boleh dibuat melalui sekolah yang dimohon mulai 5 Ogos (tertakluk kepada pindaan).

      Rayuan Permohonan :

      • Bagi permohonan yang tidak berjaya, ibu bapa/penjaga boleh mengemukakan rayuan melalui laman sesawanghttps://eprasekolah.moe.gov.mydalam tempoh dua minggu selepas keputusan diumumkan.

      • Bagi ibu bapa/penjaga yang mengemukakan permohonan secara manual, rayuan boleh dikemukakan sama ada di sekolah yang dimohon atau Pejabat Pendidikan Daerah(PPD)/ atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi negeri yang tiada PPD.

      • Keputusan rayuan boleh disemak melalui laman sesawang https://eprasekolah.moe.gov.mymulai 10 September (tertakluk kepada pindaan).

      • Bagi rayuan secara manual, semakan keputusan boleh dibuat di tempat rayuan dihantar. Ibu bapa/penjaga juga akan dimaklumkan oleh pihak sekolah yang berkenaan bagi rayuan yang berjaya.

      Permohonan Kemasukan ke Kelas Prasekolah KPM

      Kaedah Permohonan Kemasukan Ke Kelas Prasekolah KPM Melalui Dua Cara Iaitu :

      • Dalam Talian (online)
        • Tempoh permohonan secara dalam talian bermula 1 Mac hingga 30 April tahun sebelumnya.
        • Permohonan ini boleh dibuat melalui laman sesawang https://eprasekolah.moe.gov.my/
        • Ibu bapa/penjaga yang telah mengemukakan permohonan secara dalam talian hendaklah mencetak borang permohonan tersebut.
        • Borang ini perlu dihantar ke sekolah yang dimohon berserta dokumen-dokumen berkaitan. Borang dan dokumen tersebut perlu dikemukakan kepada pihak sekolah/institusi selewat-lewatnya pada 31 Mei.
        • Manual pengguna boleh dimuat turun daripada laman sesawang eprasekolah sebagai panduan.

      •  Manual
        • Tempoh permohonan secara manual bermula 1 Mac hingga 31 Mei tahun sebelumnya.
        • Ibu bapa/penjaga boleh mengambil borang permohonan di sekolah yang ingin dimohon. 
        • Pihak sekolah/institusi mesti mencetak borang permohonan kemasukan dari laman sesawang Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan (SMPK). 
        • Borang permohonan yang lengkap diisi berserta dokumen-dokumen berkaitan hendaklah dihantar ke sekolah yang dimohon.  

      Pemilihan Murid

        • Syarat-syarat kemasukan murid ke kelas parsekolah adalah seperti Surat Siaran Kementerian Pelajaran Malaysia Bil. 2 Tahun 2012 - Hanya untuk Warganegara Malaysia sahaja dan dipilih menerusi JK Pemilihan.
        • Jawatankuasa Pemilihan murid dianggotai oleh Guru Besar, Penolong Kanan, Guru Prasekolah, Guru Tahap 1 dan 2, PPM dan seorang wakil komuniti.

        Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan

        Popular Posts